Friday, 17 January 2020

Pengajaran Dari Kisah Adik Puteri Balqis dan Ibunya

Bila kita melihat kesusahan orang lain, jangan mudah mencemuh. Sifat kita yang suka membuat andaian hanya memakan diri sendiri. Tidak perlu kita persoal mengapa dan kenapa dia jadi begitu. Pandai pula kata itu sebab kifarah la dan berbagai lagi tohmahan. 


Apakata kalau kita doakan yang baik-baik. Berdoa agar kita terhindar dari ujian sebegitu. Jangan sangka kita sedang bahagia sekarang, bermakna kita akan bahagia selamanya. Jangan lupa hidup ini ibarat roda. Adakala kita diatas dan adakala kita dibawah. 


Bantu lah mereka seberapa yang mampu. Jika tak mampu, bantulah dari menutup mulut dari berkata-kata yang tidak baik terhadap mereka. 


Dan bantu juga jari jemari kita agar tidak menulis sesuatu yang akan lebih mengguris perasaan mereka. Jangan rasa hebat dimedia sosial tetapi kita paling muflis disisi Allah Swt. Tidak perlu jadikan media sosial sebagai tempat kita berdebat dan tunjuk bijak jika kita bukan orang yang bijak. 


Orang yang berilmu dan beriman tidak akan mengeluarkan kata-kata yang akan mengguris hati dan perasaan orang lain. Sentiasa menjaga tutur kata dan tulisannya mencairkan hati yang membaca. 


Susah sangat ke? Tak susah mana pun, sebab kita cuma tutup mulut je. Tak penat nak menganga kumat kamit selalu. Bagi mulut tu rehat sikit. Jari bagi duduk diam-diam. Kesian jari jemari penat menaip yang tak berfaedah. Bagi ruang untuk dia buat pekerjaan yang baik-baik. 


Pesanan: “Jika ada peminta sedekah datang kepada kita, jangan kita cemuh. Jika mampu beri. Tetapi jika tak mahu memberi, lebih baik diam sahaja. Jangan hina dan memalukan mereka dikhalayak ramai. Ucaplah perkataan yang baik-baik jika kita tidak mahu memberi. Sebab, kita sendiri pun tidak tahu bagaimana nasib kita, anak cucu kita di kemudian hari”.


Tidak rugi berbuat baik dan tidak hina menghulurkan bantuan pada yang memerlukan. Setiap amal kebajikan kita akan di catat dan diberi ganjaran besar dari Allah swt. Jangan bimbang, bersihkan hati dan jagalah tutur kata kita. 






No comments:

Post a Comment