Wednesday, 2 June 2021

Nyawa Kita Semakin Murah, Apa Yang Perlu Kita Buat?


Kita bergelut covid 19. Nyawa menjadi semakin murah. Seolah-olah dipilih satu satu seorang demi seorang masuk ke alam barzah. Angka Kematian semakin ramai. Jumlah pesakit di ICU semakin bertambah. Penempatan kuarantin sentiasa penuh. Petugas barisan hadapan juga kepenatan. 


Rakyat yang masih sihat sibuk mengetuk ruang komen di media sosial. Kutuk sana kutuk sini. Hina sana hina sini. Perkara kecil diperbesarkan. Pemimpin negara dicaci maki. Ketua negara dihina sesuka hati. Rasa hormat hilang. Tatasusila entah kemana. Adab semakin menipis. Siapa sahaja yang bersuara akan dibidas habis-habisan. Serang menyerang oleh warga ‘net’ sama naik seperti serangan Israel pada rakyat Palestin. Bertalu- talu sahut menyahut. 


Adakah kita sedar semua tu? Ye, tidak dinafikan ada yang sedar dan hanya memerhati. Mengeleng kepala melihat telatah manusia yang digelar Hamba Allah. Masing-masing tunjuk hebat dimedia sosial. Dia lah yang paling bijak dan pendapatnya sahaja yang paling benar. Kemudian dibahan pula oleh yang tidak setuju. Berbondong-bondong pula memaki hamun antara satu sama lain. 


Allahu Akbar. Bangsa ku. Sedih melihat, sedih membaca. Sehingga tidak sanggup lagi untuk menulis memberi nasihat. Seperti kehilangan kata-kata. Sebab apa, tersilap tegur kita akan dikutuk dan dihina secara berjemaah. 


Tak cukup disitu, mula lah episod saman menyaman. Rakan baik saman sesama sendiri. Yang lain turut serta simbah minyak bagi api semakin marak. Dari dua orang yang bergaduh, sudah menjadi tiga, empat, lima, enam dan kiralah hingga ke angka seterusnya. Saman menyaman sudah menjadi lumrah. Rasa ukhwah untuk mengeratkan tali persahabatan, persaudaraan hilang begitu sahaja. Hari ini kita bantu dia tolong dia, keluarkan dari kesusahan. Esok lusa dia lupa, kita yang membantu pulak dicaci dihina, diheret ke pengadilan. Peguam sana peguam sini. Lapor sana lapor sini. Polis dan peguam jadi mainan untuk tunjuk siapa lebih berkuasa. 


Adakah kita nampak bagaimana media sosial merosakkan hidup kita? 

Ada yang buat ‘live’ hampir setiap masa. Anak-anak dirumah mula bosan. Tunjuk segala kehidupan yang sepatutnya dirahsiakan. Orang luar melihat segala tingkah laku didalam rumahtangga kita. Kehidupan peribadi terpapar dimedia sosial sepanjang masa. Anak- anak juga terheret sekali dalam kehidupan glamor kedua ibubapanya. Akhirnya begitulah putaran hidup generasi akan datang. 


Wahai bangsa ku, jangan tinggalkan ilmu. Banyakkan membaca, belajar lagi utk memperbaiki diri yang makin serba kekurangan. Berdamping lah dengan. Ilmu dan belajar itu sepanjang hayat. Sibukkan diri dengan ilmu dan sentiasa memperbaharui ilmu. Jangan biarkan ia terus cetek dan cetek. Hanya dengan ilmu akan membantu memelihara diri kita dari berkata-kata yang tidak memberi faedah. 



Sayangi diri sendiri dan ahli keluarga kita. Jangan biarkan diri kita lalai dalam kemewahan hidup. Jangan biarkan diri kita berkawan dan bersahabat dengan mereka yang rendah akhlak dan budi pekertinya. Dengan siapa kita berkawan, itulah diri kita. Jauhkan diri dari mereka yang berfikiran negatif. 


Bina jatidiri yg kuat, bersihkan hati dan sentiasa berfikiran positif. Sentiasa simpan niat dalam hati agar kita akan jadi lebih baik dari hari semalam. Sama-sama motivasikan diri sendiri. Hanya itu sahaja cara untuk kita lain dari yang lain dan menjadi lebih bernilai tinggi di sisi Allah swt dan Rasulnya. 


Jangan rasa diri kita adalah yang terbaik, tetapi kerap lah rasa bahawa diri kita serba kekurangan dari segi ilmu pengetahuan.  Usaha perbaiki mana yang kurang. Semoga kita menjadi yang terbaik diantara yang terbaik.